Thursday 29 December 2011

10 peringatan bumi

Untuk Peringatan diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka.Sedarlah wahai anak adam bahawa Bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia, namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

Berkata Anas Bin Malik R.A.
Sesungguhnya setiap hari BUMI menyeru kepada MANUSIA denganSEPULUH perkara.

  1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, Tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.
  2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, terapi ingatlah! engkau akan diazab di dalam perutku.
  3.  Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! engkau akan menagis di dalam perutku.
  4.  bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! engkau akan kecewa di dalam perutku.
  5.  Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! engkau akan menyesal di dalam perutku.
  6.  Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, Tetapi ingtalah! Engkau akan dimakan oleh ulat didalam perutku.
  7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! engkau akan  dihina didalam perutku.
  8. Engkau berlari riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! engkau akan jatuh didalam perutku dalam keadaan dukacita.
  9.  Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! engkau akan tinggal  dalam kegelapan didalam perutku.
  10. Engkau hidup diatas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.




"Dan persiapkanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah ketaqwaan, bertaqwalah kepada Aku wahai orang yang berfikir." (Al-Baqarah ayat 197)

AWAS!! kita diserang syaitan melalui 10 pintu


                          gambar hiasan>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Berhati-hatilah kalian semua dengan hasutan dan godaan Syaitan, kerana 
SYAITAN telah bersumpah dengan Allah SWT yang mereka akan berusaha menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat. Ini berikutan dendam selepas dilaknati Allah SWT kerana enggan `tunduk' kepada Nabi Adam as.



Berikutan itu, Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya supaya berwaspada dengan peranan syaitan seperti di dalam hadis ini: "Pada diri anak Adam itu terdapat dua gerak rasa. Satu akan terbit daripada syaitan, manakala satu lagi daripada malaikat.


                                                                 
Syaitan sering menyerang kita melalui 10 pintu ini....                                     

  1. TAMAK DAN BURUK SANGKA. Lantas aku hadapi dengan sifat menaruh kepercayaan dan berada dengan apa yang ada setelah berusaha berakhir.

  2. CINTAKAN DUNIA DAN PANJANG ANGAN-ANGAN. Lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kadatangan maut secara tiba-tiba.

  3. CINTAKAN NIKMAT DAN KEREHATAN. Lantas aku menghadapinya dengan meyakini pemberian Allah dan takutkan balasan seksa Allah.

  4. UJUB(Kagum dengan diri sendiri). Lalu aku menghadapinya dengan menyukuri nikmat pemberian Allah dan Takutkan balasaan Seksa Allah.

  5. PANDANG RENDAH TERHADAP ORANG LAIN DAN TIDAK MENGHORMATI MEREKA. Lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

  6. RIAK DAN SUKAKAN PUJIAN ORANG. Lalu aku menghadapinya dengan sikap iklhas dan Tawaduk.

  7. HASAD. Lalu aku menghadapiya dengan sifat qanaah iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar serta Redha di atas pemberian Allah terhadap Makhluk-Nya.

  8. BAKHIL. lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa dengan ada di tangan makhluk-Nya.

  9. TAKBUR. lalu aku menghadapi dengan meyakini sifat Tawakal dan rendah Diri.

  10. TAMAK. Lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesat yang ada pada MANUSIA.
p/s : "Wahai orang-orang muda yang masih terlena dengan keseronokan, anda mungkin merasa terlalu awal untuk hidup serius. Anda merasa lebih baik berseronok dahulu sebelum bertaubat dan menukar gaya hidup. Benarkah hati anda pernah merasa puas setelah pergi berseronok di mana-mana"

LAWAN NAFSU

 Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah." Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau." Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku." Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Tuesday 27 December 2011

syahid selepas mengucapkan syahadah

Suatu ketika tatkala Rasulullah s.a.w. sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda s.a.w.. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah s.a.w. Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar. 

Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah s.a.w. , menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. . Pedangnya yang tajam ikut dibawanya. 


Rasulullah s.a.w.  menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya. Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan. 

"Untuk apa ikut ke mari ya Amar?" Demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalau mengikut sahaja pada orang ramai. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah s.w.t. akan memberikan syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid.


Waktu hal ini diketahui Rasulullah s.a.w. , maka Baginda s.a.w. pun bersabda,: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah s.w.t.." 

"Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit." Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Rasulullah s.a.w.. Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani. 


Akhirnya tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah s.w.t. di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Rasulullah s.a.w. menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

Subhanallah.....

Monday 26 December 2011

pekenalkan diri

Assalamualaikum.....
selama ini anda semua baca jer blog ini.......
tapi anda tidak mengenali saya....
first...
saya nak ucap kan terima kasih atas sokongan anda
kerana merajinkan diri membaca blog ini...
second...
nama saya ialah muhammad afiq...
jika hendak add saye di facebook...
layari  https://www.facebook.com/afiqclunk
^_^

Sunday 25 December 2011

kerajinan sang semut

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan.
Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda S.A.W.
Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kerajinan, daya usaha yang tinggi serta kegigihan adalah suatu frasa yang hampir sama ertinya. Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti sebenarnya sebagai suatu aspek utama untuk mengorak kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan?
Berapa ramai dari kita yang menjadikan elemen rajin sebagai suatu unsur yang mesti ada dalam diri?
Terciptanya manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah bukti kesempurnaan kejadian manusia. Jika kita bandingkan diri kita semua dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan, sudah tentu terdetik rasa bertuahnya diciptakan sebagai manusia yang sempurna tubuh, akal fikiran dan anggota lainnya.
Jika kita bandingkan diri kita dengan makhluk Allah bernama semut, pasti ada terlintas di fikiran bahawa semut adalah makhluk kecil yang lemah berbanding kita semua.
Semut adalah serangga bersaiz kecil dan halus tubuh badannya. Kekurangan tersebut langsung tida mendukacitakan sang semut kerana mereka hidup dalam suatu komuniti yang besar, bersatu padu dan saling bekerjasama. Kegigihan sang semut sememangnya mengatasi manusia dan ini seharusnya menjadi pedoman dan pengajaran buat insan yang berfikir.
Lihatlah bagaimana mereka meguruskan kehidupan harian dengan begitu rajin. Jika mencari makanan, mereka akan meredah segala pelusuk yang menempatkan makanan meskipun lokasinya amat jauh dari sarang.
Cubalah anda menyelusuri seekor semut dari saat dia keluar untuk mencari makanan hinggalah pulang ke sarangnya. Pasti anda akan mendapati kesungguhan yang luar biasa dan tanpa putus asa yang ada pada sang semut.
Kata seorang sarjana Barat, Henry W. Beecher,
"Satu jam yang tekun dan insentif, adalah jauh lebih baik dan menguntungkan daripada mimpi dan termenung yang bertahun lamanya."
Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh sang semut selari dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." [An-Najm:39]
Dikisahkan Nabi Sulaiman A.S sedang berehat di luar Istana lalu baginda ternampak seekor semut yang sedang merayap di atas seketul batu. Baginda berasa kagum bagaimana semut itu boleh hidup di atas batu-batu yang kering di tengah-tengah padang pasir itu.
Disebabkan ingin membantu semut tersebut, Baginda menyediakan sebuah rumah kecil dengan bekalan makanan gandum didalamnya. Selepas semut itu bersetuju, maka tingallah ia di dalam di dalam rumah kecil berisi bekalan gandum itu.
Selepas sebulan lamanya, gandum itu hanya tinggal sedikit. Semut tersebut menjelaskan kepada Baginda kenapa ia lebih senang hidup di luar daripada dipelihara. Ini kerana ia bimbang Baginda akan terlupa memberinya makan kerana kebiasaannya jika di luar sana, sang semut akan makan sebiji gandum atas daya usaha dan kerja kerasnya.  
Tetapi sebaik sahaja Nabi Sulaiman memasukkannya ke dalam rumah tersebut, sang semut menyatakan bahawa ia cuma dapat makan setengah gandum sahaja supaya bekalan itu mencukupi untuk sebulan lagi.
Akhirnya Nabi Sulaiman akur bahawa usaha dan ikhtiar yang kuat sang semut dapat menjana kekuatan hidupnya. Benarlah apa yang dikatakan dalam buku Success Acceleration karya Tony Jeary:
"Bersikap optimis dan positif bukanlah hanya suatu tindakan, gimik atau formula ajaib yang perlu dilakukan apabila perlu. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang mesti dibangun dan diamalkan sehingga ia menjadi suatu kebiasaan (a nature of response). Justeru mulai saat ini, jadilah seorang yang optimis sepanjang masa."
Sang semut menjalankan tugasnya dengan dua elemen yang penting yang boleh kita contohi iaitu 'focus' dan 'priority' (keutamaan). Sang semut sentiasa fokus iaitu memberi tumpuan kepada kawasan sumber makanan lalu melaksanakannya dengan ikhtiar yang tinggi untuk mendapatkan makanan tersebut.
Prioroti sang semut pula menekankan kepada kesesuaian kawasan sumber makanan untuk mereka perolehi. Sebaik sahaja sang semut mengenalpasti kawasan yang ingin dituju, maka segerombolan semut akan melakukan operasi mencari makanan tersebut.
Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya. Kerana sikap itulah, sang semut jarang sekali atau mungkin tidak pernah pulang ke sarang dengan tangan kosong!
 Hakikat ini disokong oleh Presiden Indonesia pertama, Sukarno ada menyatakan,
"Orang yang rajin lebih berharga daripada seorang raja."
Wallahua'lam.

BUAT SI CERDIK YANG BERFIKIR PANJANG


Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa mengkehendaki balasan dunia, nescaya kami berikan bahagian dari balasan dunia ini kepadanya. Dan barangsiapa mengkehendaki balasan akhirat, maka kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu. ( Surah ali 'Imran ayat 145 )
Pengajaran ayat :
Tujuan asas yang didapati daripada firman Allah swt ini adalah untuk memberi perangsang kepada orang yang beriman agar terus hidup dalam keadaan berjuang untuk membawa perubahan di jalan Allah swt tanpa merasa ragu atau gerun terhadap halangan-halangan daripada musuh Allah swt.
Ini adalah kerana :
Sikap penakut seseorang tidak akan menambah atau memanjangkan nyawanya. Sikap beraninya juga tidak akan memendek atau mengurangkan nyawanya. Sikap takut dan bimbang seseorang tidak akan dapat menolak qadar dan takdir Allah swt. Sudah pasti seseorang itu tidak akan mati sebelum tiba ajalnya (yang telah ditetapkan Allah).
Sesungguhnya Allah swt akan menganugerahkan setiap apa yang diminta oleh hambaNya samada sebahagian atau sepenuhnya, sesuai dengan peraturan Ilahi dan sejauh mana mereka menuruti peraturan kehidupannya. Manusia wajib tahu masa dan perkembangannya :
Masa dan kehidupan yang sementara iaitu kehidupan di dunianya. Masa dan kehidupan yang kekal abadi iaitu kehidupan di akhirat.
Bagi sesiapa di kalangan manusia mencari habuan dan balasan keuntungan di dunia, maka Allah swt akan memberikan balasan dunianya. Namun rugi yang amat sangat buatnya kerana gagal memperolehi ganjaran dan balasan yang lebih besar dan lebih hebat di akhirat kelak.
Sebaliknya, sesiapa yang bekerja, beramal dan berjuang untuk mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat, maka Allah swt akan mengurniakan kepadanya di dunia dan juga habuan yang jauh lebih lumayan di akhirat kelak.
Semoga Allah memilih kita di kalangan mereka yang gigih bekerja, istiqamah dan ikhlas di atas jalan kebenaran dan kebaikan  ini sehingga ke penghujung kehidupan kita kelak.
Sumber rujukan :
Al Qur'an dan terjemahan – Pustaka Darul Iman, Kuala Lumpur 2007Tafsir Mubin (Jilid 1) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2009Tafsir al-Maraghiy (jilid 2) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2001

Saturday 24 December 2011

10 sikap buruk manusia yang dicela Allah

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).
5. Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.
Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasukdalam kategori melakukan dosa besar.

Sumber: www.ustazazhar.net

fitrah manusia suka hiburan - SHAM KAMIKAZE

TELUK INTAN, 15 Nov: Walaupun fitrah manusia suka kepada hiburan namun biarlah hiburan yang mengikut syariat dan bertujuan semata-mata menyampaikan mesej dakwah, kata Sham Kamikaze.
Beliau menyatakan demikian dalam majlis ceramah di Kampung Padang Tembak, dekat sini.
Oleh itu menurut beliau, adalah amat wajar pihak tertentu menyediakan hiburan alternatif kepada golongan remaja.
Katanya, hiburan perlu digunakan untuk menyampaikan mesej Islam terutamanya kepada golongan muda.
Menurut Sham, setiap orang Islam adalah bertanggungjawab untuk berdakwah dan akan dipertanggungjawabkan akan usaha amar maaruf dan nahi mungkar.
“Tidak kira sama ada kita seorang ustaz atau bukan,” katanya yang nama sebenar Shamril Mohd Salleh.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa taufik dan hidayah Allah tidak memilih bulu.
Justeru, ujarnya sesiapa sahaja boleh diberi hidayah oleh Allah pada bila-bila masa tetapi yang penting ialah menanamkan sikap kasih sayang kepada setiap manusia.
Beliau juga menyentuh tentang kaedah dakwah terkini dengan menggunakan teknologi maklumat seperti facebook yang mana jika digunakan dengan cara yang betul dapat memberikan pahala yang banyak kepada penggunanya.
“Gunakanlah facebook untuk kita menyampaikan dakwah. Jika sehari satu ayat Quran atau hadith kita masukkan, cuba bayangkan berapa banyak pahala yang kita dapat apabila ia disebarkan dan dapat dibaca oleh setiap orang.
“Kesemua ini ibarat multi level marketing yang menjaminkan keuntungan di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

hijrah

PERISTIWA hijrah Rasulullah s.a.w perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.
Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.
Sebagai langkah permulaan, perbaiki kelemahan kecil yang ada dalam diri terlebih dulu sebelum melihat perkara besar. Penghijrahan perlu berlangsung secara beransur-ansur dengan membiasakan diri melakukan kebaikan kerana lama kelamaan pasti berhasil.
Solat umpamanya adalah ukuran paling tepat menggambarkan perubahan sifat seseorang. Bagi mereka yang dulunya amat memandang ringan malah begitu banyak meninggalkan solat maka ingatlah ia ibadah utama yang mengukur kejayaan seseorang di dunia dan akhirat.
Jika melaksanakan solat, sebaiknya perkemaskan untuk bersolat pada awal waktu serta dilakukan secara berjemaah. Latih diri melaksanakan solat sunat lain sebagai menampung kekurangan dalam solat wajib.
Begitu juga halnya dengan sikap; jika dulunya dianggap seorang yang kasar percakapannya sehingga pernah membuatkan orang lain terasa, perbaikilah menjadi seorang yang memiliki budi pekerti luhur dan lembut percakapannya.
Aspek kebersihan diri dan tempat tinggal perlu dikekalkan dalam suasana bersih, cantik dan selesa kerana itu adalah tuntutan dalam Islam.
Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata umat Islam perlu mengingati Muharam sebagai tahun baru Hijrah yang penuh dengan kisah perjuangan Rasulullah dan sahabat menegakkan Islam.
“Keadaan ini jauh bezanya dengan senario umat Islam hari ini di mana mereka terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.
“Ditambah lagi dengan pengaruh kebendaan serta penghayatan nilai Islam semakin terhakis daripada kehidupan. Tidak hairanlah ada golongan manusia sudah hilang sifat hormat, semakin ramai sukakan kemungkaran dan bencikan kebaikan.
“Sudah sampai masanya umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah dan peranannya dalam menjana pembinaan insan berilmu, beriman, beramal dan berakhlak,” katanya.
Beliau berkata peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri.
“Akhirnya, umat manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah.
“Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.
“Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63).
“Ayat ini mengingatkan kisah perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar walaupun asalnya, mereka dua puak yang bersengketa.
“Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib,” katanya.
Menurutnya mereka itulah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai hidup positif yang tidak ada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah manusia.
“Ini bertepatan dengan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik dan umat pertengahan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang benar), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.
(Surah al-Baqarah, ayat 143).
“Hijrah bukan bermakna melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya salah satu koleksi nostalgia silam bagi menyedarkan umat Islam,” katanya.
Katanya, sebelum mengakhiri tahun 1432 Hijrah, setiap umat Islam perlu mengimbas kembali masa setahun yang berlalu bagi menilai ke mana ia dihabiskan.
“Saidina Umar al-Khattab pernah berkata; Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Ungkapan ini memberi peringatan kepada kita betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai alat persiapan yang akan menentukan kejayaan.
“Pada hari ini terdapat kelemahan melanda umat Islam termasuk kemunduran, kemiskinan, perpecahan, pertelagahan sesama sendiri.
“Ia jauh berbeza dengan jaminan Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik,” katanya.
Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Al-Ghazwu al-Thaqafiy Yamtaddu Fi Faraghina’ menyatakan umat Islam akan gagal menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.
“Umat Islam pasti gagal merealisasikan amanah menyampaikan Islam jika mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ihsan golongan kafir dan musuh Islam.
“Justeru, umat Islam perlu bekerja keras memartabatkan kembali imej dan maruah sebagai umat yang terbaik,” katanya.
Engku Ahmad Zaki berkata dalam buku ‘Al-Tamkin Li al Ummah al Islmaiyyah’ karangan Muhammad Sayyid Muhammad Yusuf beliau menggariskan beberapa sifat utama yang mampu mengembalikan Islam pada zaman kegemilangannya.
“Antaranya, umat Islam perlu sentiasa beramal soleh, melakukan ibadat secara mutlak kepada Allah, penguasaan ilmu seimbang antara duniawi dan ukhrawi, berjihad pada jalan Allah, berdakwah serta mempunyai sifat sabar,” katanya.
Pensyarah Kuliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Razak Wan Ahmad, berkata umat Islam di Malaysia perlu melakukan penghijrahan terhadap perkara asas dalam hidup.
“Berdasarkan perkembangan semasa, nilai, moral dan budaya umat Islam semakin jauh daripada landasan sebenar. Tidak mustahil aliran budaya dan agama lain terutamanya Buddha, Hindu atau Kristian akan meresap masuk ke jiwa umat Islam jika ia tidak ditangani.
“Umat Islam di negara ini berdepan tekanan besar dalam aspek akidah, syariat, ekonomi, kebudayaan dan sosial.
Lambang dan identiti Islam semakin kabur dan sukar dikesan,” katanya.
Beliau berkata hijrah utama yang perlu dilakukan sekarang ialah pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan.
“Ia bukan perkara kecil kerana nama membawa perwatakan sebenar dan memberi kesan kepada tingkah laku seseorang jika nama yang diberikan mempunyai maksud buruk.
“Contohnya, ada ibu bapa memberi nama anak seperti ‘Abdul Manaf’ (hamba berhala), ‘Majnun’ (gila), Hazan (dukacita). Jika bapa tersilap memilih nama, sewajarnya mereka berusaha menukar nama itu.
“Antara nama yang baik seperti nama yang dinisbahkan kepada nama Allah namun perlu dimulai dengan kalimah ‘Abd seperti Abdul Quddus, Abdul Halim, Abdul Fattah dan sebagainya,” katanya.
Abdul Razak berkata perkara lain yang perlu diberi perhatian serius dalam proses penghijrahan ialah memartabatkan kembali cara berpakaian.
“Apa yang berlaku hari ini nampaknya sudah jauh tersasar di mana terdapat di kalangan masyarakat tidak segan silu berpakaian menjolok mata yang membawa fitnah.
“Perubahan perlu dilaksanakan segera dengan membawa imej pemuda dan pemudi Islam yang sentiasa menjaga hubungan serta membaluti tubuh mereka dengan pakaian menutup aurat seperti yang digariskan Islam.
“Begitu juga dari aspek budaya sama ada ketika berada di rumah, pejabat atau bertemu orang lain di luar perlu ada tindakan dan perubahan.
“Masyarakat kita sebenarnya mampu menjadi warga hebat jika sentiasa membudayakan sifat rajin berusaha, kualiti kerja bermutu, kreatif dan sentiasa bermotivasi tinggi,” katanya.